Sunday 26 May 2013

MUTIARA KATA



SEDIKIT CORETAN TENTANG

SEJARAH & LATARBELAKANG

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS









      Disini saya ingin kongsikan tentang pusat pengajian yang saya idamkan sejak dari kecil lagi.
     Syukur alhamdulilah kerana saya diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di universiti yang saya    
     inginkan dan idamkan sejak dahulu lagi. Walaupun universiti ini sudah banyak kali bertukar nama, 
    namun Universiti Pendidikan Sultan Idris  masih merupakan universiti pilihan yang menempatkan 
      bakal-bakal graduan guru. Disini, saya akan ceritakan serba sedikit tentang sejarah dan latar belakang universiti ini...

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan sebuah institusi pengajian tinggi awam yang penting dalam lipatan sejarah pendidikan negara. Institusi ini berkembang secara bertahap dari sebuah kolej ke sebuah universiti. Agak menarik apabila meneliti tahap perkembangan institusi ini, kerana ia meniti satu landasan sejarah yang sama, mendukung falsafah penubuhan yang sama dan mekar dalam taman yang sama. Secara kronologi, perkembangan UPSI melalui tiga era, iaitu era SITC (29 November 1922 - 1957), era MPSI (1957 - 1987) dan era IPSI (21 Februari 1987 - April 1997). Tiga era ini juga memperlihatkan wadah generasi pendidik yang dilahirkan oleh institusi ini dalam tempoh 75 tahun. Tanggal 1 Mei 1997 bermulalah lembaran barunya sebagai sebuah universiti, apabila universiti ini diperbadankan di bawah Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997 menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 132 & 133 yang bertarikh 24 Februari 1997.

Genap usia sepuluh tahun, IPSI memasuki era barunya pada tahun 1997 dengan langkah yang penuh bergaya apabila institusi ini secara rasmi dinaikkan taraf sebagai sebuah universiti. Bagi menjalankan perintah kerajaan menerusi Warta Kerajaan P.U. (A) 132 & 133 bertarikh 24 Februari 1997, maka bermula 1 Mei 1997, tertubuhlah Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dikenali hari ini dengan nama singkatannya UPSI.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mula beroperasi pada 2 Mei 1997 dengan pelajarnya seramai 350 orang. Datuk Dr. Ashari Che Mat telah dilantik sebagai Naib Canselor Pertama manakala Profesor Dr. Abu Bakar Nordin (kini bergelar Dato’) sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik. Mereka dibantu oleh Encik Sayuti Sahlan, Encik Yusof Semahil dan Encik Rusley Taib untuk membangunkan UPSI dalam serba kekurangan.

Berbekalkan enam orang kakitangan pentadbiran dan 29 orang tenaga akademik yang kebanyakannya dipinjamkan dari pelbagai agensi Kementerian Pendidikan Malaysia, UPSI mengorak langkah ke gelanggang pendidikan dengan semangat dan cita-cita murni. Ternyata, tidak mudah bagi UPSI menarik nafas lega, kerana terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Kekentalan semangat dan iltizam beserta dorongan Kementerian Pendidikan, UPSI menapak langkah demi langkah membina kekuatan diri berdiri atas kemampuan sendiri yang akhirnya berjaya menempatkan dirinya seiring dengan perkembangan institusi pengajian tinggi yang lain waktu ini.

Pembangunan infrastruktur bermula dengan pembinaan Bangunan Canselori pada tahun 1999 dan Kompleks Kediaman Siswa di Behrang Ulu. Pada awal tahun 2001, pembangunan semakin rancak dilaksanakan dengan pembinaan Gimnasium, Perpustakaan, Auditorium, Kompleks Pendidikan Muzik, dewan-dewan kuliah dan lain-lain. Beberapa kemudahan sedia ada yang merupakan warisan SITC-MPSI-IPSI dibaik pulih dengan beberapa pembaharuan, sesuai dengan kemajuan teknologi di samping mengekalkan struktur asalnya. Pembangunan yang rancak ini telah menampilkan imej UPSI sebagai sebuah institusi pengajian tinggi. Nama UPSI terpancar sebagai simbol keunggulan institusi ini sebagai sebuah universiti yang sepenuhnya menawarkan program pengajian pendidikan baik di peringkat ijazah sarjana muda mahupun lanjutan.

Pada awal penubuhannya, terdapat hanya empat buah fakulti yang menawarkan sepuluh program pengajian. Fakulti-fakulti tersebut adalah Fakulti Bahasa, Fakulti Sains Sosial danKesenian, Fakulti Sains dan Teknologi, dan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia. Jumlah program pengajian bertambah dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, dua buah fakulti baharu ditubuhkan, iaitu Fakulti Perniagaan dan Ekonomi dan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, menjadikan jumlah fakulti sehingga itu enam buah dengan jumlah 19 kursus pengajian di peringkat ijazah sarjana muda. Peningkatan ini menggambarkan perubahan besar yang dilakukan bagi menampung keperluan akademik dan jumlah pelajar yang kian bertambah.

Sehingga kini, sebanyak sembilan buah fakulti sudah ditubuhkan dan fakulti tersebut adalah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM), Fakulti Sains dan Matematik (FSMT), Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSK), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), dan Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK). UPSI juga sudah mempunyai 54 program pengajian ( 7 Program Diploma, 35 Program Sarjana Muda Pendidikan, 4 Program Sarjana Muda Dengan Pendidikan, dan 8 Program Ijazah Sarjana Muda). Selain itu, Institut Pengajian Siswazah (IPS) menawarkan 173 Program Pengajian (103 Program Sarjana dan 70 Program Doktor Falsafah).
Sekian......

No comments:

Post a Comment